Sunday, August 3, 2008

Friendster atau Facebook?



'ADDlah saya.' Dahulu, siapa sahaja akan terpinga-pinga apabila mendengar seseorang menyebut ungkapan ini. Pasti terbit kemusykilan hendak 'tambah' bagaimana pula? Tetapi kini, jika anda tidak memahaminya, mungkin orang lain pula yang mengerut dahi dan memandang sinis ke arah anda.
Ungkapan ringkas ini adalah sesuatu yang lazim dalam kalangan manusia zaman ini terutamanya orang muda. Ia difahami atas dasar kesemua orang dianggap sudah memiliki akaun rangkaian sosial Internetnya. Justeru, 'menambah' itu membawa maksud memasukkannya dalam senarai kenalan anda.
Bahasa mudahnya, tidak kira walau apapun rangkaian sosial yang anda sertai di Internet, ungkapan tersebut bagai menggantikan huluran salam perkenalan.

Jika seseorang itu sudi untuk berkawan dengan anda, maka dia akan menerima pelawaan anda dan memasukkan anda dalam senarai kenalannya. Maka semakin luaslah jaringan komuniti maya itu.
Berbicara tentang rangkaian sosial, sebenarnya terdapat begitu banyak laman yang menawarkan khidmat ini di internet. Bermula daripada Friendster pada tahun 2002, berbagai laman muncul seperti cendawan selepas hujan, antaranya MySpace, Orkut, Bebo, Hi-5, Cyworld dan Facebook.
Nyata sekali, laman-laman ini menjadi wahana perkenalan dalam era milenium kini. Jangankan orang muda, golongan profesional, selebriti hinggakan ahli politik pun memilikinya.

Dalam konteks Asia dan negara ini, laman Friendster (www.friendster.com) dan Facebook (www.facebook.com) adalah yang paling popular. Cuba tanya kepada sesiapa sahaja yang duduk di sebelah anda sekarang. Mereka boleh dianggap ketinggalan zaman jika tidak mengetahui akan kewujudannya.
Friendster saat ini merupakan rangkaian sosial No. 1 di Asia dengan memiliki 52 juta pengguna berdaftar. Dengan 36 juta pengunjung bulanan di Asia, pencapaiannya adalah lebih dua kali ganda daripada mana-mana laman rangkaian sosial. Facebook mengekori di tangga kedua dengan 18 juta.
Friendster yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) digunakan di lebih 75 buah negara. Sebelas daripada 15 buah negara pengguna Friendster terbesar adalah di Asia. Di Asia Tenggara sahaja, Friendster berada di tangga pertama dengan 4.5 kali ganda lebih besar daripada Facebook di tempat kedua.
Salah seorang daripada 10 individu di dunia yang merupakan pengumpul rakan dan peminat Friendster Fan Profiles terbesar di dunia adalah dari negara ini iaitu penyanyi Karen Kong.

Dengan bilangan friends sebanyak 170,643, penyanyi yang tercalon dalam kategori vokal wanita terbaik di Anugerah Industri Muzik 2008 itu unggul di tangga pertama di Malaysia dan kedua di dunia.
"Saya sebenarnya mula mengenali Friendster sejak belajar di universiti dua tahun lalu. Pada masa itu, semua orang saling bertanya 'you ada Friendster?'. Bila saya dapati ia satu yang cool kerana boleh menambah kenalan dan boleh menyimpan gambar, saya pun menyertai Friendster," kata Karen yang profilnya ditontoni 2,000 orang setiap hari. Karen ditemui di sebuah kafe di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun mempunyai laman web rasmi sendiri, Karen berkata, tidak ramai yang memasuki laman itu jika hendak dibandingkan dengan laman Friendster beliau.
Tidak sekadar menambah kenalan atau mempromosi muziknya, Karen, 23, turut memasukkan pelbagai elemen dalam Friendster termasuk konsert dalam talian.
"Atas permintaan peminat saya di Filipina dan negara-negara lain yang mahu saya membuat persembahan di sana, maka saya terfikir untuk menghasilkan konsert yang boleh mereka tontoni secara dalam talian di Friendster," katanya.
Konsert dalam talian Karen yang turut mempunyai penganjur itu merupakan sejarah baru dalam industri muzik Malaysia dan Asia Tenggara.
Karen berkata, dia berasa gembira kerana setiap hari ada sahaja orang baru yang mengirim permohonan berkenalan dengannya. Tetapi dalam masa yang sama, seperti juga judul lagu hitnya, Ku Tak Upaya, dia berasa sedih kerana tidak terdaya untuk membaca dan membalas kesemuanya.
Selain Friendster, Karen juga baru sahaja membuka akaun Facebook baru-baru ini, tetapi hatinya tetap pada Friendster.
"Saya suka Friendster. Pertama, sebab ramai kawan-kawan saya dari zaman belajar dahulu berada di laman ini. Kedua, ia mesra pengguna, ringkas dan persembahan web yang lebih menarik.
"Bagi saya, laman Facebook agak rumit," katanya yang menyifatkan Facebook beliau dikhaskan untuk rakan bisnes dan rakan-rakan seperjuangan dalam industri manakala Friendster untuk kawan-kawan dan peminat.
Pengarah Pemasaran Friendster, Jeff Roberto ketika ditemui media di Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, antara kelebihan Friendster berbanding rangkaian sosial lain ialah kebolehannya untuk disesuaikan dengan kehendak pengguna. Pengguna Friendster boleh menukar latar belakang lamannya.
Mungkin kerana itu, ia lebih mudah menarik golongan lebih muda yang lazimnya menyukai latar belakang yang menarik berbanding kosong seperti sesetengah pesaingnya termasuk Facebook.
"Buat masa ini, Friendster masih No. 1 di Malaysia dalam kategori semua peringkat usia," katanya.
Bagaimanapun, akhir-akhir ini, Facebook dilihat mula mendapat perhatian pengguna di negara ini. Laman sosial yang menguasai Amerika Utara dan Eropah itu dikesan mula mendekati pengguna di negara ini sejak tahun lalu.
Berdasarkan satu kaji selidik ringkas yang dilakukan penulis terhadap 10 responden baru-baru ini mendapati, sembilan daripadanya mempunyai Friendster dan lima daripada mereka juga sudah mempunyai Facebook.
Namun, mereka lebih menyukai Facebook. Tiga responden terus setia pada Friendster manakala seorang hanya memiliki Facebook. Selain itu, seorang responden memiliki Friendster dan Facebook tetapi lebih menyukai Friendster.
Bagi peminat Friendster, mereka menyukainya berasaskan tiga faktor iaitu mesra pengguna, latar belakang web yang berwarna-warni, menarik serta lebih ringkas.
Antara jawapan mengapa Facebook disukai kerana ia dikatakan bersifat interaktif, mempunyai pelbagai aplikasi, kuiz, memori muat naik gambar lebih besar, lebih in pada masa sekarang, dilengkapi laman sembang, game serta boleh memberikan hadiah maya berupa pasu bunga dan sebagainya kepada kawan.
"Saya sukakan Facebook sebab orang lain boleh bagi hadiah kepada saya. Saya suka beg Gucci," kata model, Jusmiera Jamaluddin ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Jusmiera,31, sudah mempunyai 1,725 rakan setelah empat bulan menyertainya.
"Facebook banyak aplikasi. Ia ibarat semua dalam satu. Ia memang efektif. Walaupun ada di antara mereka tidak pernah kita jumpa, tetapi, kita boleh menjadi begitu rapat dan boleh bertukar-tukar maklumat," katanya yang ditemani rakannya, Mazniwati Hashim.
"Bukan sekadar tambah kenalan, kita juga boleh bertemu semula rakan-rakan lama zaman sekolah dahulu yang terpisah menerusi laman sosial," kata Mazniwati.
"Apapun, semuanya ada baik dan buruknya," tambahnya.
Benar, rangkaian sosial ada pro dan kontranya. Pronya sudah tentu ia membantu kita untuk terus berhubung dengan rakan-rakan, tidak kira rakan baru atau lama dalam dunia yang semakin kompleks dan dihambat kekangan masa. Di samping itu, pastinya ia dapat mengurangkan bil telefon.
Namun ia juga mempunyai keburukan seperti laman dan gambar disalahgunakan, hilang kemahiran sosial kerana tiada sentuhan dan manusia kurang bersemuka serta menyebabkan ketagihan.
Mungkin kerana masalah ketagih yang kronik juga, difahamkan ada perpustakaan di institusi pengajian tinggi yang telah mengharamkan laman rangkaian sosial tertentu sehingga boleh menyebabkan bunyi penggera dikeluarkan.

No comments: