Saturday, July 19, 2008
Runtuhkah ego lelaki?
Sejak kecil, lelaki dilarang untuk menangis. 'Kamu lelaki, mana boleh menangis'. Kata-kata itu sering diucapkan orang tua ketika anak lelaki jatuh dari buaian di padang permainan atau diserang demam yang teruk. Yang pasti, kata-kata itu memberi kesan psikologi mendalam sehingga terbawa-bawa di minda lelaki yang dewasa.
Natijahnya, lelaki adalah golongan yang bijak merahsiakan perasaan.
TANGISAN lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan kejujuran. - Gambar hiasan
Menangis adalah pantang. Mereka bimbang jika mereka menangis, mereka akan dianggap tidak macho, lembik atau pondan. Lagi pula, kalau menangis di hadapan perempuan, sungguh memalukan!
Berasaskan kebimbangan itu, timbul persoalan iaitu benarkah lelaki sejati langsung tidak boleh menangis? Barangkali, inilah persoalan yang bermain di fikiran mereka tatkala mereka berusaha menahan air mata daripada tumpah atau lebih tepat mempertahankan ego mereka.
Jawapannya, tiada salahnya seorang lelaki sejati menangis. Mengapa? Ini kerana mengekspresikan emosi itu sendiri punya kebaikannya. Apabila anda meluahkan emosi dengan menangis, ia dapat melegakan ketegangan dalaman atau meredakan sebahagian sistem saraf dan mengembalikannya kepada keadaan normal.
Mungkin ini juga jawapan mengapa jangka hayat perempuan lebih panjang seperti yang difikirkan seorang pakar kimia, David Maillie yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam kajian biokimia dan klinikal.
Tambahan pula, menangis membuatkan emosi anda lebih jelas. Luahan emosi yang tidak jelas boleh menjejaskan hubungan kerana bukan sahaja anda tidak pasti apakah perasaan anda bahkan orang lain juga menjadi keliru. Akibatnya, orang lain (terutamanya wanita) akan menganggap kurangnya emosi yang dipertontonkan sebagai tidak berperasaan.
Jangan anda fikir kebanyakan wanita akan menganggap anda kurang macho jika anda menangis. Hasil pelayaran penulis di forum-forum berkaitan di internet, turut memperlihatkan banyak juga reaksi positif oleh perempuan terhadap lelaki yang menangis.
Seorang rakan sekerja perempuan penulis secara spontan dengan menyifatkan lelaki yang menangis menampilkan kejujuran dan keberanian kerana sanggup melepaskan ego demi apa yang mereka rasai. Ia jauh daripada imej stereotaip lelaki yang digambarkan 'keras'.
Kenapa tangisan lelaki dikatakan jujur? Ini kerana, lelaki sejati hanya menangis dalam situasi yang benar-benar menyentuh hati mereka.
ajian oleh Psychologie Magazine pada tahun lalu menunjukkan wanita biasanya menangis kerana tidak dapat mengawal perasaan marah, takut dan kecewa berbanding lelaki. Di sebalik 'kegagahan' lelaki, kaum Adam ini dikatakan lebih mudah menangis apabila berasa terlalu bahagia atau terlalu pilu.
Penulis tertarik dengan sepotong ayat yang ditulis seorang isteri dalam sebuah forum berbahasa Inggeris.
"Suami saya telah menjadi tentera laut selama lapan tahun dan saya tidak pernah mempersoalkan kegagahannya untuk mempertahankan negara. Tetapi, dia boleh menjadi begitu sensitif dan mudah menangis pada perkara yang amat memilukan dan membahagiakan.
"Dia menangis pada hari perkahwinan kami, ketika anak perempuan saya dilahirkan dan apabila anak-anak saya mengucapkan perkataan buat kali pertama. Saya menyifatkannya satu anugerah mengagumkan apabila dia mempunyai emosi yang mudah tersentuh, namun masih gagah dan macho."
Kesimpulannya, tiada salahnya untuk lelaki menangis. Tetapi biarlah tangisan itu kena pada tempat dan masanya serta yang penting, tidak keterlaluan.
Bagaimanapun, satu kajian terbaru daripada Penn State University, Amerika Syarikat menunjukkan bahawa air mata lelaki kini lebih diterima berbanding perempuan. Kajian ke atas 284 orang itu mendapati, tangisan lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan kejujuran sedangkan tangisan perempuan pula dilihat sebagai hilang kawalan.
Menurut kajian, televisyen juga memainkan peranan dalam hal ini. Program hiburan seperti realiti TV dan drama juga semakin banyak memperlihatkan lelaki menangis.
Barangkali ada benarnya tanggapan itu. Ketika lagu Real Man Cries dirakamkan kumpulan The Elms pada tahun 2001, lagu Big Girls Don't Cry nyanyian Fergie pula berkumandang mutakhir ini.
Sunday, July 13, 2008
Ilusi si kurus - Tip berpakaian untuk lelaki kurus

Ketika ramai tidak berpuas hati kerana memiliki tubuh badan 'terlalu sihat', sesetengah pula bimbang akan berat badan mereka yang tiada menampakkan peningkatan. Bak kata orang, tubuh kurus macam 'tak cukup makan'. Masalah ini mungkin lebih merunsingkan jika anda seorang lelaki.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah tubuh yang terlalu kurus ini. Antaranya ialah faktor semula jadi seperti pembakaran kalori yang lebih pantas atau memiliki tubuh yang cenderung membakar lebih kalori.
Individu seperti ini sering disifatkan orang 'makan berpinggan-pinggan pun, macam itulah juga tubuhnya'.
Apa pun, kekurangan ini bukanlah alasan untuk anda tidak mampu berpenampilan menarik. Walaupun anda tidak memiliki sekujur tubuh yang tegap, sasa dan berotot, anda juga boleh tampil penuh berkeyakinan. Ilusi fesyen mungkin boleh membantu menyembunyikan kekurangan anda itu.
Pemilihan pakaian yang tepat mungkin boleh membantu anda kelihatan lebih berisi.
Elakkan baju yang terlalu ketat
Memakai baju kemeja atau baju T yang terlalu ketat akan menampakkan sosok tubuh anda yang amat kurus. Pilihlah pakaian yang muat-muat pada tubuh anda. Memakai baju yang terlalu besar saiznya pula mungkin akan membawa efek lebih buruk. Anda mungkin kelihatan seperti lalang ditiup angin atau seakan sedang berenang dalam pakaian!
Beli blazer berpad leher yang kecil dan ringan
Mengenakan blazer boleh membuatkan anda kelihatan lebih berisi. Untuk membuatkan tubuh anda lebih sasa, belilah blazer yang berpad leher kecil atau ringan. Pad leher yang kecil akan membuatkan belakang dan dada anda memberi visual tegap. Sebaliknya, pad yang besar akan membuatkan anda kelihatan seperti seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam baju orang dewasa.
Pakai seluar potongan lurus
Seluar anda sewajarnya berpotongan klasik atau potongan lurus di hadapan. Poket pada seluar juga menambah ilusi lebih besar sedikit, begitu juga kelepet pada hujung seluar.
Keseragaman
Bila anda berpakaian, pastikan baju dan seluar anda seragam saiznya. Ketidakseragaman dari segi saiz atau keketatannya akan membuatkan anda kelihatan lebih teruk lagi. Sebagai contoh, bayangkan jika anda memakai jaket atau baju panas yang besar dengan memakai seluar jean yang ketat melekap di kaki, bagaimana agaknya rupa anda?
Tempah pakaian
Menempah pakaian membolehkan anda memakai pakaian yang tepat saiznya dengan tubuh anda. Elakkan sebarang kelonggaran pada bahagian bawah lengan dan kawasan leher.
Pakai jaket yang tepat
Jika anda memakai jaket sebaik-baiknya pastikan panjangnya betul-betul jatuh di bawah punggung anda. Memakai jaket yang lebih pendek menampakkan kekurusan anda manakala jaket yang terlalu besar membuatkan anda seperti sedang berselimut.
Elak baju berpotongan leher V
Baju berpotongan leher V menampakkan leher anda dan kekurusan. Oleh itu, pilihlah potongan leher turtle neck atau crewneck. Mengenakan butang sebanyak yang mana juga, boleh menampakkan anda lebih besar. Jika blazer perlu berpad leher yang kecil, kolar kemeja pula sebaiknya yang agak besar dan menyeluruh sedikit.
Fabrik yang tebal
Selain daripada memakai blazer, memakai fabrik pakaian yang tebal juga akan menampakkan tubuh yang lebih besar. Pilih fabrik kapas atau bebenang bulu yang tebal.
Elakkan corak jalur tegak
Memakai baju bercorak jalur yang menegak akan membuatkan anda lebih langsing. Jalur yang melintang mungkin lebih baik kerana ia membuatkan tubuh anda nampak lebih lebar. Corak-corak kotak atau motif-motif lain mungkin lebih sesuai untuk anda.
Jam tangan jejaka

Lelaki bukan seperti wanita yang mempunyai pelbagai aksesori seperti rantai, gelang atau subang, maka jam tangan lazimnya sudah memadai.
Justeru, jam tangan sewajarnya menjadi elemen penting bagi seorang pria. Ia bukan sekadar objek dua jarum yang menjadi penentu masa, bahkan ia sebenarnya merupakan objek paling pantas dan mudah untuk menggambarkan personaliti diri seorang jejaka.
Memahami betapa hebatnya aksesori ini bagi seorang lelaki, anda seharusnya mengambil berat dan memilih yang terbaik untuknya.
Di sini, Stailo! sediakan beberapa tip untuk anda memiliki jam tangan terbaik dan disukai ramai.
Secara umumnya, wanita lebih sukakan jam tangan yang bermuka dengan tali jam besar melekat pada tangan lelaki kerana nampak lebih gagah dan perkasa. Tetapi, janganlah terlampau besar sehingga kelihatan janggal.
Percaya atau tidak, fizikal jam memang memainkan peranan. Jam tangan yang berfizikal kecil menyerlahkan ciri feminin.
Memang terdapat pelbagai fesyen jam tangan di pasaran. Namun, yang berciri klasik itu biasanya lebih mudah diterima. Jam tangan bermuka bulat nampaknya lebih disukai.
Mengenai analog atau digital, kedua-duanya boleh dijadikan pilihan tapi perlu dilihat dari dimensi yang berbeza. Jam analog berciri klasik, jadi ia mungkin pilihan yang lebih sesuai. Tetapi, jam digital juga boleh menunjukkan ciri maskulin, tambah pula pada jam sporty yang sememangnya menonjolkan imej lasak. Cuma, berhati-hatilah apabila memilih jam digital, silap pilih, mungkin setengah wanita akan melihat anda seperti murid lelaki sekolah rendah!
Memakai jam dengan butiran berlian juga membuatkan wanita berasa anda memiliki jiwa feminin. Mungkin juga ada wanita yang memadamkan hasrat untuk mendekati anda.
Dari segi warna, seeloknya pilih warna sejati yang sesuai dipadankan dengan situasi bisnes dan formal. Memang banyak pilihan jam berfesyen dengan warna yang mengujakan dan menarik perhatian. Jika anda benar-benar berminat, jadikannya sebagai jam tangan kedua atau ketiga anda.
Merah jambu?
Warna ini dianggap menyerlahkan ciri feminin yang sangat kuat. Lantas mengenakan warna ini bagi lelaki seolah-olah menghilangkan ‘kemachoan’ mereka.
Sebenarnya, tidak dapat dipastikan sejak bilakah perkaitan warna dengan sesuatu jantina mula dilakukan.
Warna merah jambu sering dilabel sebagai warna wanita dan warna biru, sebaliknya adalah untuk lelaki. Jika anda berfikir kedua-dua warna ini sememangnya secara tradisi dilabelkan sedemikian, ia sebenarnya tidak tepat.
Pensyarah di Lancaster University, Britain, Dr. Veronika Koller mendakwa, sebelum Perang Dunia Pertama, warna merah jambu biasa dipakaikan kepada kanak-kanak lelaki dan warna biru dikenakan oleh kanak-kanak perempuan.
Ini mungkin kerana merah jambu yang merupakan ‘basuhan’ warna merah dilihat lebih agresif berbanding warna biru yang sering dikaitkan dengan kelembutan seperti langit dan lautan.
Bagaimanpun, menurut Koller, keadaan berubah menjadi sebaliknya selepas Perang Dunia Pertama. Apabila pakaian pasukan beruniform, pekerja buruh kerja lelaki dan sektor pekerjaan yang dimonopoli kaum lelaki mula mengenakan warna biru, ton warna itu kemudian dilabel untuk lelaki.
Industri pemasaran kemudiannya mengambil warna merah jambu untuk diberikan kepada wanita hanya sebagai pertentangan.
Walau apapun, oleh kerana stigma merah jambu untuk lelaki begitu kuat hari ini, kita tidak dapat menghilangkan begitu sahaja persepsi itu.
Namun, kemunculan lebih ramai kelompok lelaki yang semakin obses dengan perubahan fesyen sedikit sebanyak membantu memudarkan persepsi itu.
Mesejnya mudah, jika kena gayanya anda mungkin mampu kelihatan lebih segak, mempesona walaupun dengan peragaan merah jambu.
Jika anda pernah menonton filem Brown Sugar, anda tentu mengakui betapa hebatnya baju panas merah jambu.
Dalam satu adegan, aktor Boris Kodjoe mengenakan baju panas crew-neck bula Kashmir merah jambu dengan seluar gelap dan ia kelihatan sangat menarik. Sememangnya warna merah jambu amat padan digandingkan dengan hitam, kelabu atau biru gelap yang memberi pernyataan sofiskated.
Memakai kemeja berwarna merah jambu di pejabat memudahkan anda meraih perhatian memandangkan tidak ramai yang memakainya.
Ia bukanlah satu masalah sekiranya baju yang dikenakan sesuai dengan bentuk tubuh anda dan tidaklah terlalu terang.
Satu lagi, elakkan daripada menyingsing lengan baju sehingga ke bahagian siku, kerana ia akan menambah ciri feminin apabila menyerupai potongan pakaian wanita. Kemeja berjalur merah jambu halus juga patut dimiliki di dalam almari baju lelaki.
Baju T merah jambu dengan kolar berwarna putih yang kontras pula memberikan anda penampilan yang modern-edge, sesuai dengan gaya urban. Mengenakan seluar merah jambu sememangnya tidak bersesuaian untuk lelaki melainkan dengan suit.
Bagi pria yang baru hendak berjinak-jinak dengan warna merah jambu, anda boleh memulakannya dengan aksesori. Aksesori seperti jaket, stokin dan topi berwarna merah jambu adalah tidak digalakkan bagi lelaki. Tetapi, sesetengah lelaki mampu tampak hebat dengan tali leher, sapu tangan atau kot berwarna merah jambu. Aksesori berwarna merah jambu pucat sesuai berpadu bersama pakaian coklat dan kelabu.
Seperti merah, warna merah jambu juga melambangkan cinta. Jika merah membawa maksud keghairahan, merah jambu membawa maksud romantik dan mempesona. Merah jambu adalah warna kesukaan wanita dan anda mungkin mampu menarik perhatian.
Bukan sahaja kerana rona merah jambu bersesuaian dengan ton kulit kebanyakan manusia dan semakin ramai lelaki yang mengenakannya, memakai warna merah jambu juga membuat anda sebaris dengan jejaka idaman wanita dunia seperti Ashton Kutcher, Usher, Tyson Beckford, Saif Ali Khan, Hrithik Roshan, Rod Steward mahupun Donald Trump.
Satu lagi, jika anda seorang lelaki ia kini ada definisi baru. Ia melambangkan anda seorang yang yakin dan berani!
“Seorang lelaki yang memakai warna merah jambu menunjukkan dia seorang berkeyakinan dan berani kerana memakai ton warna yang sering dilabel feminin,” kata Stan Williams, pengarah Maxim, sebuah majalah gaya hidup lelaki.
Jadi, adakah anda berani?