Sunday, August 3, 2008

Friendster atau Facebook?



'ADDlah saya.' Dahulu, siapa sahaja akan terpinga-pinga apabila mendengar seseorang menyebut ungkapan ini. Pasti terbit kemusykilan hendak 'tambah' bagaimana pula? Tetapi kini, jika anda tidak memahaminya, mungkin orang lain pula yang mengerut dahi dan memandang sinis ke arah anda.
Ungkapan ringkas ini adalah sesuatu yang lazim dalam kalangan manusia zaman ini terutamanya orang muda. Ia difahami atas dasar kesemua orang dianggap sudah memiliki akaun rangkaian sosial Internetnya. Justeru, 'menambah' itu membawa maksud memasukkannya dalam senarai kenalan anda.
Bahasa mudahnya, tidak kira walau apapun rangkaian sosial yang anda sertai di Internet, ungkapan tersebut bagai menggantikan huluran salam perkenalan.

Jika seseorang itu sudi untuk berkawan dengan anda, maka dia akan menerima pelawaan anda dan memasukkan anda dalam senarai kenalannya. Maka semakin luaslah jaringan komuniti maya itu.
Berbicara tentang rangkaian sosial, sebenarnya terdapat begitu banyak laman yang menawarkan khidmat ini di internet. Bermula daripada Friendster pada tahun 2002, berbagai laman muncul seperti cendawan selepas hujan, antaranya MySpace, Orkut, Bebo, Hi-5, Cyworld dan Facebook.
Nyata sekali, laman-laman ini menjadi wahana perkenalan dalam era milenium kini. Jangankan orang muda, golongan profesional, selebriti hinggakan ahli politik pun memilikinya.

Dalam konteks Asia dan negara ini, laman Friendster (www.friendster.com) dan Facebook (www.facebook.com) adalah yang paling popular. Cuba tanya kepada sesiapa sahaja yang duduk di sebelah anda sekarang. Mereka boleh dianggap ketinggalan zaman jika tidak mengetahui akan kewujudannya.
Friendster saat ini merupakan rangkaian sosial No. 1 di Asia dengan memiliki 52 juta pengguna berdaftar. Dengan 36 juta pengunjung bulanan di Asia, pencapaiannya adalah lebih dua kali ganda daripada mana-mana laman rangkaian sosial. Facebook mengekori di tangga kedua dengan 18 juta.
Friendster yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) digunakan di lebih 75 buah negara. Sebelas daripada 15 buah negara pengguna Friendster terbesar adalah di Asia. Di Asia Tenggara sahaja, Friendster berada di tangga pertama dengan 4.5 kali ganda lebih besar daripada Facebook di tempat kedua.
Salah seorang daripada 10 individu di dunia yang merupakan pengumpul rakan dan peminat Friendster Fan Profiles terbesar di dunia adalah dari negara ini iaitu penyanyi Karen Kong.

Dengan bilangan friends sebanyak 170,643, penyanyi yang tercalon dalam kategori vokal wanita terbaik di Anugerah Industri Muzik 2008 itu unggul di tangga pertama di Malaysia dan kedua di dunia.
"Saya sebenarnya mula mengenali Friendster sejak belajar di universiti dua tahun lalu. Pada masa itu, semua orang saling bertanya 'you ada Friendster?'. Bila saya dapati ia satu yang cool kerana boleh menambah kenalan dan boleh menyimpan gambar, saya pun menyertai Friendster," kata Karen yang profilnya ditontoni 2,000 orang setiap hari. Karen ditemui di sebuah kafe di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun mempunyai laman web rasmi sendiri, Karen berkata, tidak ramai yang memasuki laman itu jika hendak dibandingkan dengan laman Friendster beliau.
Tidak sekadar menambah kenalan atau mempromosi muziknya, Karen, 23, turut memasukkan pelbagai elemen dalam Friendster termasuk konsert dalam talian.
"Atas permintaan peminat saya di Filipina dan negara-negara lain yang mahu saya membuat persembahan di sana, maka saya terfikir untuk menghasilkan konsert yang boleh mereka tontoni secara dalam talian di Friendster," katanya.
Konsert dalam talian Karen yang turut mempunyai penganjur itu merupakan sejarah baru dalam industri muzik Malaysia dan Asia Tenggara.
Karen berkata, dia berasa gembira kerana setiap hari ada sahaja orang baru yang mengirim permohonan berkenalan dengannya. Tetapi dalam masa yang sama, seperti juga judul lagu hitnya, Ku Tak Upaya, dia berasa sedih kerana tidak terdaya untuk membaca dan membalas kesemuanya.
Selain Friendster, Karen juga baru sahaja membuka akaun Facebook baru-baru ini, tetapi hatinya tetap pada Friendster.
"Saya suka Friendster. Pertama, sebab ramai kawan-kawan saya dari zaman belajar dahulu berada di laman ini. Kedua, ia mesra pengguna, ringkas dan persembahan web yang lebih menarik.
"Bagi saya, laman Facebook agak rumit," katanya yang menyifatkan Facebook beliau dikhaskan untuk rakan bisnes dan rakan-rakan seperjuangan dalam industri manakala Friendster untuk kawan-kawan dan peminat.
Pengarah Pemasaran Friendster, Jeff Roberto ketika ditemui media di Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, antara kelebihan Friendster berbanding rangkaian sosial lain ialah kebolehannya untuk disesuaikan dengan kehendak pengguna. Pengguna Friendster boleh menukar latar belakang lamannya.
Mungkin kerana itu, ia lebih mudah menarik golongan lebih muda yang lazimnya menyukai latar belakang yang menarik berbanding kosong seperti sesetengah pesaingnya termasuk Facebook.
"Buat masa ini, Friendster masih No. 1 di Malaysia dalam kategori semua peringkat usia," katanya.
Bagaimanapun, akhir-akhir ini, Facebook dilihat mula mendapat perhatian pengguna di negara ini. Laman sosial yang menguasai Amerika Utara dan Eropah itu dikesan mula mendekati pengguna di negara ini sejak tahun lalu.
Berdasarkan satu kaji selidik ringkas yang dilakukan penulis terhadap 10 responden baru-baru ini mendapati, sembilan daripadanya mempunyai Friendster dan lima daripada mereka juga sudah mempunyai Facebook.
Namun, mereka lebih menyukai Facebook. Tiga responden terus setia pada Friendster manakala seorang hanya memiliki Facebook. Selain itu, seorang responden memiliki Friendster dan Facebook tetapi lebih menyukai Friendster.
Bagi peminat Friendster, mereka menyukainya berasaskan tiga faktor iaitu mesra pengguna, latar belakang web yang berwarna-warni, menarik serta lebih ringkas.
Antara jawapan mengapa Facebook disukai kerana ia dikatakan bersifat interaktif, mempunyai pelbagai aplikasi, kuiz, memori muat naik gambar lebih besar, lebih in pada masa sekarang, dilengkapi laman sembang, game serta boleh memberikan hadiah maya berupa pasu bunga dan sebagainya kepada kawan.
"Saya sukakan Facebook sebab orang lain boleh bagi hadiah kepada saya. Saya suka beg Gucci," kata model, Jusmiera Jamaluddin ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Jusmiera,31, sudah mempunyai 1,725 rakan setelah empat bulan menyertainya.
"Facebook banyak aplikasi. Ia ibarat semua dalam satu. Ia memang efektif. Walaupun ada di antara mereka tidak pernah kita jumpa, tetapi, kita boleh menjadi begitu rapat dan boleh bertukar-tukar maklumat," katanya yang ditemani rakannya, Mazniwati Hashim.
"Bukan sekadar tambah kenalan, kita juga boleh bertemu semula rakan-rakan lama zaman sekolah dahulu yang terpisah menerusi laman sosial," kata Mazniwati.
"Apapun, semuanya ada baik dan buruknya," tambahnya.
Benar, rangkaian sosial ada pro dan kontranya. Pronya sudah tentu ia membantu kita untuk terus berhubung dengan rakan-rakan, tidak kira rakan baru atau lama dalam dunia yang semakin kompleks dan dihambat kekangan masa. Di samping itu, pastinya ia dapat mengurangkan bil telefon.
Namun ia juga mempunyai keburukan seperti laman dan gambar disalahgunakan, hilang kemahiran sosial kerana tiada sentuhan dan manusia kurang bersemuka serta menyebabkan ketagihan.
Mungkin kerana masalah ketagih yang kronik juga, difahamkan ada perpustakaan di institusi pengajian tinggi yang telah mengharamkan laman rangkaian sosial tertentu sehingga boleh menyebabkan bunyi penggera dikeluarkan.

Wednesday, July 23, 2008

Raja Boer


PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.
Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.
Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.
Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.
Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.
Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.
Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.
BOER hasil bakaan Jim yang baru memenangi kejohanan Canberra Royal 2008.
Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.
"Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan," ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.
Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.
Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.
Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.
Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.
Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.
Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.
"Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup," ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.
"Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini," kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.
Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.
Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.
"Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan," ujarnya sambil mengakui 'praktikal hidup' merupakan gurunya selama ini.
Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.
Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.
"Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.
"Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri," ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.
"Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan 'sifar', tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses," ujarnya.
Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:
"Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda."
Ogos ini, Jim Boer dijangka akan memberikan ceramah mengenai Boer di negara ini. Untuk maklumat lanjutan mengenai ceramah dan kursus berkenaan sila hubungi talian 016-317 5930 (Melissa), 012-941 5166 (Amat) dan 013-388 3635 (Shukor).

Saturday, July 19, 2008

Lupakan peperangan


" KAMI tidak ada aktiviti seperti ini di Iraq. Gunung-gunung kami sudah musnah kerana perang. Kami cuma ada sebuah gunung yang masih cantik di utara Iraq, tetapi masih berbahaya untuk didekati. Kami ditegah menghampirinya kerana bimbang masih ada serpihan bahan letupan tinggalan perang," kata Sarkawt Ahmed Rustum, 28, seorang warga Iraq yang berpeluang melakukan aktiviti mendaki tebing batu (rock climbing) di Kampung Wira Damai, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
Dia merupakan antara 25 rakyat Iraq yang berada di Malaysia untuk menjayakan satu program realiti televisyen (TV) kelolaan saluran TV Iraq, Al-Sharqiya yang berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Dalam rancangan realiti TV yang dinamakan Free ini, para peserta dikehendaki melakukan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar.
"Rock climbing sangat menyeronokkan dan saya amat menikmatinya," katanya sambil bola matanya sekali sekala memerhati ke arah seorang ahli kumpulannya yang sedang berhempas pulas memanjat tebing batu. Mungkin keseronokan ini membantu mereka melupakan penderitaan yang pernah dilalui dan kesukaran hidup di kampung halaman di Iraq. Di negaranya, Sarkawt bekerja sebagai seorang guru.

Dalam perang yang tercetus pada 2003 iaitu apabila Amerika Syarikat (AS) menceroboh Iraq, Sarkawt menceritakan, dia pernah melihat sendiri sahabat karibnya ditembak apabila cuba meloloskan diri daripada kepungan di sebuah masjid. Kawannya mati 10 jam selepas terkena tembakan yang mengandungi uranium. Sarkawt sendiri pernah ditinggalkan sendirian di padang pasir dengan darah berlumuran di kakinya.
"Malaysia adalah tempat terbaik yang pernah saya kunjungi. Di sini, segala-galanya manis dan indah," ujar Sarkawt tersenyum, sekali gus memudarkan riak serius wajahnya yang terpamer kala berbicara tentang peperangan dan situasi negaranya sebentar tadi.
Dalam cabaran mendaki tebing batu ini, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu merah dan biru. Dalam tempoh 10 minit, setiap individu dikehendaki mendaki tebing batu sejauh yang mereka mampu (secara umumnya bagi pendaki baru, mereka hanya dibenarkan mendaki sehingga ketinggian 30 meter). Markah akan diberikan mengikut kumpulan.

Raghad Abd. Ma'ayof, 34, pula menyifatkan ia memang sukar tetapi menyeronokkan. Namun, serumit manapun cabaran yang dilalui, Raghad berkata, dia sanggup menempuhinya kerana dia telah melalui banyak cabaran hidup yang sukar.
"Saya tidak takut cabaran kerana saya sudah lalui banyak cabaran yang lebih besar," ujar wanita ini yang pernah mengalami lecur di seluruh kakinya akibat terjatuh dalam air panas ketika bekalan elektrik terputus di Iraq semasa perang.
"Perang sudah lima tahun berlalu dan sampai saat ini pun, saya belum menemui sebarang pekerjaan," kata Raghad yang merupakan antara peserta pertama yang mendaki.
Walaupun kedua-dua kumpulan dipisahkan dengan warna baju, namun sukar untuk melihat persaingan di antara mereka.
"Lihat peserta lelaki itu! Dia pasukan biru tapi dia memberi sokongan padu kepada seorang peserta dari pasukan merah. Ia mengagumkan!" jerit Rosil Azauui yang merupakan pengacara rancangan merangkap penerbit program berkenaan semasa Kosmo! sedang menemubualnya.

Rosil memberitahu, para peserta program ini datangnya dari seluruh negara tersebut. Mereka mempunyai latar belakang yang berbeza. Ada Islam, Kristian; Sunni, Syiah; Kurdis dan Arab. Mereka berbeza loghat, berbeza pekerjaan dan sebagainya.
"Sebenarnya, inilah antara matlamat utama kami mengadakan program ini di luar negara. Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Iraq bukanlah seperti yang digambarkan oleh laporan-laporan media sebagai sebuah masyarakat yang saling bergaduh.
"Rakyat Iraq sebenarnya saling menyayangi. Macam dalam program ini, mereka tidak pernah bergaduh sesama mereka," kata Rosil sambil menyifatkan pihak yang mencetuskan masalah di negara mereka bukannya dari dalam negara itu tetapi dari negara luar.
Apa pun, katanya, keadaan di Iraq pada masa kini sangat berbahaya sehingga tidak memungkinkan mereka membuat sebarang rakaman rancangan TV di sana.
"Anak-anak muda Iraq tidak boleh bebas melakukan apa pun. Sehingga untuk bermain bola sepak pun berbahaya. Yang perempuan, lebih teruk keadaannya. Hendak menghabiskan pelajaran pun sukar.
"Tetapi, mereka juga seperti anak-anak muda di tempat lain yang mahukan kebebasan untuk melakukan sesuatu. Mereka juga mahu tunjukkan kepada dunia bahawa mereka mahu hidup.
"Kami sediakan peluang bagi mereka untuk menikmati keseronokan hidup dan melupakan apa yang sedang dan telah berlaku di negara mereka," ujar Rosil sambil memberitahu rakyat Iraq begitu teruja menyertai program ini sehingga menerima lebih 10,000 penyertaan.
"Mereka hidup dalam suasana perang dan ini menjadikan mereka berjiwa cekal. Mereka seakan tidak takut untuk melakukan apa sahaja sehingga saya pula terpaksa menakut-nakutkan mereka," kata Rosil, dalam nada berjenaka.
Rosil cuma memaklumkan hadiah yang menjadi rebutan dalam program ini berjumlah USD$300,000 (RM982,307) keseluruhannya. Katanya, polisi saluran TV di negaranya tidak membenarkan pihak penerbit mendedahkan bagaimana pengagihan hadiah pemenang dibuat dan ia masih menjadi rahsia terutama dalam kalangan peserta.
"Kami juga mencari individu terbaik dalam program ini yang diukur dari sudut keupayaan melakukan aktiviti mencabar dan sahsiah diri. Kami mahu mencari contoh terbaik," ujarnya.
Pengarah program berkenaan, Ali Abu Khumra pula berkata, program ini bukan sekadar untuk menunjukkan kepada dunia tentang realiti Iraq bahkan kepada penduduk Iraq sendiri.
"Kami mahu mereka sedar bahawa mereka juga boleh melakukan apa sahaja termasuk sesuatu perkara yang baru.
"Di Iraq, kami tidak boleh melakukan aktiviti seperti ini. Kami juga tidak ada tenaga profesional dan kami tidak ada peralatannya," ujarnya.
Dalam program ini, para peserta akan berada di Malaysia selama dua bulan untuk melunaskan 60 aktiviti cabaran termasuklah berkayak di arus deras, ikhtiar hidup, payung terjun, menyelam dan sebagainya.
Ini merupakan program musim pertama dan Malaysia dipilih kerana keupayaannya mewujudkan pelbagai aktiviti dan penerimaan warga Iraq yang lebih baik.
Segala aktiviti mereka di sini diuruskan oleh syarikat aktiviti lasak, Paximej (M) Sdn. Bhd.
"Kami berbangga diberi kepercayaan menguruskan aktiviti ini. Ini kali pertama kami menguruskan aktiviti bagi program luar negara," kata Pengarah Urusan Paximej, Ahmad Kamil Mohamed.

Spam masalah sosial

Sebuah laman web di New York (tinyurl.com/ysgyow) mencadangkan terdapat lebih daripada 170 bilion emel yang dihantar setiap hari di dunia.
Daripada berbilion-bilion emel itu, kebanyakannya ialah emel 'spam' iaitu antara 100 bilion dan 150 bilion. Ini bermakna, jika setiap manusia di bumi berada dalam talian, semua orang bakal mendapat emel spam yang mencukupi. Bahkan, bayi yang baru lahir boleh mendapat 20 emel spam.
Spam adalah emel yang dihantar ke akaun emel orang lain yang anda tidak kenali atau mereka tidak mengenali anda, untuk membuat promosi bagi sesuatu program wang, mempromosi produk jualan anda atau dalam bahasa yang mudah, emel yang tidak diperlukan. Itu adalah maksud yg mudah.
Data ini menunjukkan bahawa spam lebih daripada masalah teknologi. Rawatan dan solusinya sebenarnya terletak pada manusia dan masyarakat. Apakah hukuman yang selayaknya bagi pengirim emel spam? Ia mestilah tegas tetapi tidak mungkin hukuman mati kerana tiada justifikasi untuk yang sedemikian.
Cukupkah dengan melihat spam melibatkan tindakan politik dan ekonomi?
Spam haruslah kelihatan tidak menguntungkan.
Seorang penganalisis daripada agensi berita Guardian menyatakan, yang membuatkan aktiviti mengirim emel spam menarik kepada penjenayah siber ialah tiada kos dan risiko yang rendah. Justeru, mungkinkah solusi yang lebih baik ialah dengan mengenakan bayaran?
Bagi spam sejati, ia juga mungkin membawa maksud caj mikro seperti 'cap' emel. Menurut penganalisis tersebut, mekanisme ini buat pertama kali telah dicadangkan oleh tokoh perisian Kanada, Tim Bray.
Katanya, mekanisme ini memerlukan pengendalian berpusat satu kuasa besar seperti bersaiz kerajaan sebuah negara atau Google atau Microsoft. Ia berfungsi dengan meletakan pada setiap emel yang dihantar satu jenis 'pengecapan digital' yang mengesahkan bahawa emel yang dihantar adalah dikehendaki oleh penerimanya dan kandungannya tidak mendatangkan marah.
Pengesahan ini akan memerlukan kos. Ia perlu kelihatan bernilai seperti mana sijil tersebut menunjukkan bahawa emel itu bukan emel sampah, picisan iaitu spam. Bagaimanapun, meski satu emel yang dihantar dikenakan bayaran satu sen pun, ia tetap membawa masalah yang lain.
Apabila sistem seperti ini digunapakai, internet tidak akan menjadi terbuka kepada sesiapa jua dan mana-mana ISP hanya menerima emel yang berbayar.
Tentu sekali solusi ini tidak sempurna. Yang paling sukar tentunya orang yang miskin. Satu sen semesej tetap satu kos yang membebankan.
KEGIATAN spam dikatakan telah menyebabkan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat kerugian AS$10 bilion tahun 2003.
Namun, persoalan utamanya bukanlah antara emel percuma dan emel bayar, atau antara internet terbuka dan internet tertutup. Ia adalah antara membayar untuk suatu tindakan tidak efisien atau yang lebih efisien.
Meletakkan keseimbangan antara kos dan risiko mungkin dapat menghapuskan jenis-jenis spam terutama melibatkan penjualan barangan yang hanya segelintir mampu membelinya. Ia tidak akan membawa banyak kebaikan dan jika silap gaya kerana 'hukuman' yang kurang 'menyakitkan', akhirnya serangan scam dan aktiviti phishing pula yang berlaku.
Mengirim dan membuang scam bukan sahaja masalah spam. Sesetengah orang mengeluarkan wang tanpa mengetahui ia scam, tetapi akhirnya mendapati ia merupakan satu pembohongan yang amat besar. Menghentikan mereka memerlukan tindakan daripada pihak-pihak yang terlibat.
Justeru, spam secara asasnya ialah masalah sosial, bukan masalah teknologi. Tidak ada teknologi pintar yang boleh menghentikannya selagi terdapat bilangan signifikan manusia di luar sana yang dilihat seperti mahukan emel spam.
BBC melaporkan, menurut satu tinjauan yang dikendalikan oleh firma sekuriti Mirapoint dan syarikat kajian pasaran Radicati Group, hampir sepertiga pengguna emel mengklik pada link yang diberikan mesej spam.
Menurut satu sumber di laman IEEE Computer Society, pada tahun 2003, spam membuatkan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat hilang produktiviti bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion). Satu sumber yang lain pula menyatakan, spam menyebarkan virus dan menjadi penceroboh utama sesebuah rangkaian.
Walaupun kebanyakan melihat spam lebih kepada masalah peribadi, ia tidak syak lagi merupakan masalah sosial yang memerlukan tindakan masyarakat keseluruhannya.

Hijrah Najmil


NAMANYA mula menjadi sebutan pada awal tahun 2005 yang lalu. Najmil Faiz Mohamed Aris membuatkan rakyat negara ini tersenyum bangga apabila menjadi anak Malaysia pertama diberi penghormatan membentangkan tesisnya di Parlimen Britain. Bukan hanya nama negara dijulang, bahkan kajiannya itu berjaya membuatkan Britain membuka mata tentang kebolehan anak watan negara ini.
Para hadirin yang terdiri daripada tetamu terhormat dan saintis di House of Common, London tertarik dengan pembentangan selama 15 minitnya itu. Mungkin tarikan itu datang daripada saiz tubuh yang lebih kecil, tapi hakikatnya, idea penyelidikan anak muda ini begitu mempesona. Kajiannya mengenai teknologi nano dalam kejituan kejuruteraan mendapat pujian Menteri Perindustrian Britain, Dr. Brian Iddon dan dinobatkan sebagai Prospek Terbaik untuk industri pembuatan.
Hebat sekali pencapaiannya. Terpilih sebagai seorang pelajar Asia paling cemerlang, mungkin ramai yang beranggapan dia sememangnya lahir sebagai insan terbilang. Benarkah begitu?
Dibesarkan di Pasir Mas, Kelantan dalam keluarga sederhana, dia merupakan pelajar sekolah yang nakal di sekolah dan pernah memakai tali rapia pada kasut sekolah. Lebih teruk daripada itu, dia turut terjerumus ke dalam kancah mat rempit jalanan.
Kerana sikapnya yang nakal dan culas, akibatnya, dia memperoleh pangkat 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilabel ramai sebagai satu kegagalan.
“Kegagalan itu menjadi kaunselor hidup saya. ‘Dia’ membantu saya bangkit dan sentiasa di sisi untuk ‘memukul’ saya bagi meneruskan perjuangan,” katanya ketika dihubungi KOSMO! baru-baru ini. Najmil, 28, kini menuntut di Brunel London University dalam pengajian ijazah doktor falsafah. Selain telefon, emel juga menjadi penghubung di antara penulis dan Najmil bagi menyediakan bahan artikel ini.
Menyorot zaman ‘nakalnya’ dahulu, Najmil berkata, sejak di sekolah rendah lagi, dia minat bertukang dan mengubah suai basikal. Keadaan tersebut berlarutan ketika di peringkat sekolah menengah.
“Nama pun budak sekolah vokasional. Kalau dulu basikal... kini motosikal menjadi sasaran saya. Sikit sebanyak ilmu automotif yang diterima oleh saya dan kawan-kawan di sekolah telah dicampur dengan kreativiti sendiri untuk memperbaharui prestasi motor.
“Namun, kebolehan yang ada disalah guna dengan menguji hasilnya di jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan diri. Inilah masa untuk menguji sejauh mana lajunya motor kita dengan motor orang lain. Saya pernah terlibat dengan kemalangan tetapi tidaklah cedera teruk,” katanya.
Selepas ‘terkandas’ dalam peperiksaan SPM, dia bekerja sebagai pembantu pam minyak berhampiran rumah. Ejekan dan sindiran sinis daripada kawan-kawan serta ada yang ‘buat-buat seperti tidak mengenalinya’ membuatkan dia berasa perit dengan kegagalan. Dia mula sedar untuk menjadi lebih baik dan bertekad untuk ‘berhijrah’ menjadi insan berjaya.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang mengejek saya gagal kerana ungkapan itu tidak melemahkan saya malah membakar semangat saya untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk menjadi seperti hari ini,” ujarnya.
Perjalanan untuk bangkit tidaklah semudah itu. Dia kemudian memohon masuk ke sebuah institut pengajian tinggi swasta di Damansara, Kuala Lumpur dalam pengajian berkembar luar negara bagi kejuruteraan mekanikal. Bagaimanapun, keputusannya tidak memuaskan sekali gus memadam hasratnya untuk mendapatkan tajaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Namun, dia tidak berputus asa. Dia memilih jalan sukar untuk masuk ke Leeds Metropolitan University, Britain. Dia berusaha mengumpul wang sebanyak yang termampu dengan bekerja di sebuah syarikat antarabangsa di Damansara. Berbekalkan duit gaji itu serta pinjaman bank yang dijamin oleh bapanya yang berpendapatan sederhana, cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut tercapai.
“Di sana, saya bekerja keras untuk hidup. Wang perlu dicari sendiri untuk membayar yuran universiti, sewa rumah, buku dan sebagainya. Saya bekerja dan dalam masa yang sama, tekun belajar. Hanya belajar dan bekerja menjadi rutin harian hidup saya. Tidak ada masa untuk berehat, melepak atau berhibur.
“Macam-macam kerja saya buat. Mengangkut barang, mencuci bangunan dan longkang serta membersihkan stadium. Kadang-kadang sampai tiga kerja sehari. Saya lihat, pelajar yang mendapat tajaan pun terpaksa bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan. Bermakna saya yang datang tanpa tajaan perlu bekerja lebih kuat lagi!
“Tetapi, saya tidak pernah ‘tuang’ kelas. Rasa takut pada kegagalan adalah penawar kepada keletihan. Perpustakaan menjadi rumah kedua saya dan saya ‘membesar’ di perpustakaan universiti sehingga dikenali oleh semua kakitangannya,” ujarnya.
Akhirnya, berkat kesungguhannya, dia berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan pembuatan dengan cemerlang dan penyelianya mencadangkannya untuk meneruskan pengajian ke peringkat doktor falsafah.
Belajar daripada kegagalan, Najmil berkata kegagalan dalam liku-liku perjalanan hidup adalah untuk mematangkan diri seseorang.
“Gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selamanya. Prinsip hidup saya adalah selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Jika orang lain boleh melakukannya, kita juga pasti boleh melakukanya,” tuturnya.
Dia sememangnya menanam cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kerana melihat keperluan berhijrah ke tempat lain.
“Ia untuk mengeluarkan diri kita dari zon selesa yang menyebabkan kita kurang sifat cekal. Apabila kita berada di tempat orang, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti budaya, bahasa pertuturan dan layanan yang berbeza. Semua ini akan menguatkan semangat dan membuatkan kita berfikir lebih matang dan pantas,” ujarnya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Isteri dan anaknya menemaninya di London.
Bersama keluarga tercinta di London
Mengenai perkembangan terbaru, katanya, dia telah dilamar oleh beberapa syarikat swasta di negara-negara Eropah untuk bekerja dalam pelbagai industri yang berkaitan serta meneruskan kajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan.
“Tetapi, saya rasa, saya mahu pulang ke tanah air dan berbakti. Apa yang pasti, tawaran yang diperoleh menunjukkan bahawa Eropah benar-benar mengiktiraf hasil kerja saya.
“Bisikan peringatan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menerima Anugerah terbilang di Kuala Lumpur dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menerima Anugerah Gemilang di Manchester sentiasa bermain di minda agar terus memartabatkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Ditanya apakah pesanannya kepada remaja Malaysia, dia menasihati remaja supaya memikirkan kesan pada masa depan sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Mereka perlu mula dari sekarang untuk merancang rangka perjalanan bagi menjayakan cita-cita. Jika mereka tahu mengatur hala tuju dan cita-cita, maka mereka akan sedar bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk dibuai dengan perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.

---

Ingin tulis buku lagi

SETELAH tampil dengan buku Meniti Puncak Antara Realiti & Fantasi dan versi Inggeris, Towards Greater Height pada tahun lalu, Najmil Faiz Mohamed Aris menyatakan kepada KOSMO! hasratnya untuk terus menulis buku.
“Saya masih ingin menulis buku. Sekarang pun, saya sedang menulis dan sudah menyiapkan satu buku panduan untuk belajar dan bekerja di luar negara. Saya juga sedang mengumpul pengalaman orang-orang Melayu yang berjaya di United Kingdom untuk dikongsi bersama,” ujarnya.
Dia amat berterima kasih kepada penaja bukunya iaitu Puncak Niaga, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pengajian Tinggi. Katanya, sebanyak 150,000 naskhah telah dicetak dan diedarkan secara percuma di seluruh negara. Pada masa sekarang, masih ada permintaan untuk dicetak semula sebanyak 50,000 naskhah.
“Saya berharap buku yang telah dan akan diterbitkan dapat memimpin dan membimbing pelajar sekali gus menyuntik semangat mereka agar berusaha keras untuk berjaya,” katanya yang gembira untuk turun padang melakukan siri motivasi bagi membimbing dan menyuntik semangat generasi muda untuk berusaha memartabat nama Malaysia di mata dunia.
Ditanya apakah matlamatnya yang masih belum tercapai, dia yang selayaknya diangkat menjadi idola remaja berkata, masih banyak lagi impiannya yang belum terlaksana.
“Saya ingin kormersialkan hasil-hasil penyelidikan yang boleh menyumbang dan membangunkan ekonomi negara,” ujarnya yang juga ingin menubuhkan kelab peminat bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan dan melakukan program bersamanya.

Wang Silam

tama



BERMULA daripada tiga keping duit kertas lama yang dihadiahkan bapanya ketika berusia 15 tahun, Abdullah Ismail menambah koleksi wang lama sehingga kini jumlahnya melebihi 20,000 keping. Jumlah ini mungkin lebih banyak memandangkan dia tidak merekodkan bilangannya.
Daripada tiga keping wang kertas ini iaitu satu dolar Malaya Borneo dengan lambang kapal layar, 10 dolar Malaya British Borneo dengan gambar kerbau dan sekeping wang kertas zaman Jepun, minat Abdullah untuk mengumpul duit-duit lama mula membuak-buak.
"Masa itu, saya bersekolah di tingkatan tiga. Ayah saya berikan saya wang yang telah lama disimpannya sebagai hadiah kerana dia tahu saya minat mengumpul wang. Sejak itu, saya mula 'jatuh cinta' terhadap wang lama dan mahu mengumpul lebih banyak lagi," kata Abdullah, 38, ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Koleksi persendiriannya mengagumkan. Walaupun belum cukup layak untuk digelar muzium, namun sedikit sebanyak, ia mampu membawa kita melayari sejarah wang silam di negara ini. Kebanyakan wang kertas milik Abdullah disimpan rapi di dalam album-album dan kebanyakan wang syiling pula disimpan secara berpaket di dalam peti.
Beliau bukan sekadar menyimpan wang dari zaman penjajahan British dan Jepun. Turut terdapat di dalam koleksi duit lamanya ialah duit zaman Kesultanan Melayu Melaka. Duit dari zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1445 adalah antara yang paling lama usianya.

Duit pada zaman itu diperbuat daripada timah dan merupakan antara wang terawal bertemakan Islam. Timah merupakan komoditi utama negeri-negeri Melayu ketika itu.
Berwarna seakan-akan hitam, bahagian depan duit ini tertera huruf jawi 'Sultan Muzaffar Shah'. Sementara belakangnya pula tertera tulisan yang berbunyi 'penolong kepada dunia dan agama'.
Mengakui mendapat kepuasan daripada hobi mengumpul duit lama, Abdullah berkata, dia seronok melihat perubahan wang dari satu zaman ke satu zaman.
"Kita dapat melihat perubahan wang. Misalnya, tengok duit Sultan Muzaffar ini, kita dapat tahu bagaimana bentuk wang pada zaman itu? Ia tidaklah sebulat duit syiling yang ada pada masa ini dan kelihatan dibentuk secara manual. Tetapi, kini...sains dan teknologi telah mengubah segalanya.
"Apapun jika anda amati, setiap zaman menjanjikan keunikan yang tersendiri. Bukan sahaja pada corak, tetapi juga bentuknya. Ada duit syiling yang berlubang di tengah dan ada yang bersegi-segi. Duit syiling satu sen pada zaman British berbentuk segi empat sama," ujar lelaki berasal dari Taiping, Perak ini. Dia turut menyimpan wang zaman Portugis dan Belanda.
Tambahnya lagi, wang juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Selain syiling dan wang kertas, ia juga boleh didapati dalam bentuk token seperti token saudagar yang juga terdapat dalam simpanan Abdullah.

Pada tahun 1840-an, token yang mempunyai lambang ayam jantan dan tertulis tulisan jawi 'Tanah Melayu' itu telah digunakan secara meluas di Kedah dan negeri-negeri sekitarnya sebagai medium pertukaran.
Apabila syiling diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1848, penggunaan token mula dilarang dan menjelang tahun 1853, token-token ini tidak lagi digunakan di Semenanjung Tanah Melayu.
Selain token, ada juga medium pertukaran yang berbentuk kupon seperti kupon yang diperkenalkan British pada tahun 1941 yang digunakan dalam hal jual-beli getah kering.
Ditanya bagaimana cara dia mendapatkan wang-wang lama itu, Abdullah berkata, dia lazimnya akan bertukar-tukar dengan sahabat yang mempunyai minat yang sama, bertanya kepada orang-orang tua di kampung-kampung atau membelinya.
"Biasanya, saya bertukar-tukar dengan kawan-kawan. Tetapi, kalau pergi ke kampung-kampung, ada juga saya bertanyakan kepada mereka kalau-kalau mereka masih menyimpan duit lama.
"Ada juga yang saya beli atau bertukar dengan barangan lain yang saya miliki," jelasnya. Katanya, hal ini membuatkan penulis memahami mengapa terdapat beberapa barang antik di rumah Abdullah seperti seterika tembaga, radio lama, keris dan sebagainya.
"Saya dapat syiling Sultan Muzaffar Shah ini melalui pertukaran barangan dengan seorang kawan. Saya tukarkan seterika tembaga kepala ayam milik saya untuk dapatkan duit ini," ujarnya.
Abdullah memberitahu kos terbanyak yang dilaburkan untuk membeli sesuatu duit lama ialah RM1,200. Duit lama itu ialah wang kertas 10 dolar King George yang merupakan antara yang paling sukar didapati.
Ditanya yang mana satukah antara wang lama dalam koleksinya yang paling disayanginya, Abdullah berkata, tiga wang kertas yang diberikan ayahnya, Ismail Yusof, 70, dan sekeping wang kertas yang dibelinya buat kali pertama.
"Ia adalah duit pertama yang saya beli dengan wang poket sendiri selepas mula bekerja sebagai peniaga kedai runcit pada tahun 1989. Duit itu ialah wang kertas 10 sen yang dikeluarkan pada tahun 1941.
ANTARA wang kertas lama yang digunakan di negara ini ketika pemerintahan British dan Jepun.
Kata Abdullah, apa yang dilakukannya ini adalah sebagai lambang apresiasinya terhadap wang.
"Saya amat menghargai wang. Apabila saya melihat orang ramai membuang duit satu sen, saya rasa sedih. Orang tidak sedar, duit itu walaupun sekecil mana nilainya mungkin boleh membantu kita satu hari nanti," katanya yang turut menyimpan duit yang tidak lagi dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti wang kertas RM20, RM500 dan RM1,000 dan syiling RM1 berkeris emas.
Beliau mengakui koleksinya belum lengkap. Masih banyak yang perlu dicari dan sebagai pengumpul sejati, beliau tidak akan berhenti.
"Apabila sudah jadi hobi, saya rasa tidak puas selagi tidak melengkapkannya. Lagi susah mendapatkannya, lagi terasa mencabar," katanya sambil memberitahu dia merujuk buku-buku wang yang menghidangkan informasi yang sahih termasuk buku keluaran BNM untuk mengetahui tentang wang-wang lama.

Jutawan internet


DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja setiap hari. Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu gelaran yang diidami ramai.
Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal 30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet. Menurut Irfan, dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25 tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu.
Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur, tetapi juga medan untuk 'membuat duit'.
Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan. Bezanya, ia menerusi perantaraan Internet.
Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet, saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan Internet.
"Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.
Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer.
Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang disangka?
Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja."
Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan sebagainya.
"Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah berkenaan perniagaan Internet.
"Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari."
Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini.
"Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna Internet hanya 500 juta orang.
"Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya.
"Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian," katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet.
Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya rahsiainternet.com, ideabubble.com dan slash.com.my.
Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah.
"Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik.
"Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga. Saya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini.
Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan, dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu.
Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya.
"Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya.
Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun lagi.
Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi.
Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian multimedia di Britain.
"Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen.
"Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74 peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan. Perniagaan Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya.
"Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.


-----

Tak ada rugi

SELAIN daripada perniagaan Internet, seseorang juga boleh memperoleh pendapatan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog mereka.
Menarik bukan? Anda hanya menulis atau mengemas kini laman web atau blog anda, dan iklan yang masuk memberikan anda pulangan yang besar.
Itulah yang telah terjadi kepada seorang pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar yang kini hanya bekerja di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor. Kerjaya sebagai juruaudit dalaman ditinggalkan Samsul Zamzuri, 33, sejak tahun 2005 setelah dua tahun membangunkan laman web dan blog.
"Saya mengambil keputusan itu setelah melihat ia mampu menjana pendapatan empat kali ganda lebih besar daripada apa yang saya lakukan pada masa itu.
"Kini, setiap bulan, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka," kata Samsul yang merupakan graduan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
"Dan saya percaya, bukan setakat puluhan ribu, bahkan dengan pekerjaan ini mampu menjadikan seseorang itu jutawan. Di Malaysia, barangkali belum ada sesiapa yang bergelar jutawan hanya dengan iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog.
"Tapi di luar negara, saya yakin ada. Yalah, kalau pendapatan sehari mereka mampu mencecah AS$5,000 dolar (RM15,950) masakan tidak boleh jadi jutawan," ujarnya yang mengusahakan laman web, portal, direktori web dan blog. Antaranya ialah www.osx-e.com dan blog webmaster Malaysia www.szab.net/blog/.
Menurut Samsul, pengiraan pendapatan menerusi laman web atau blog ialah bergantung kepada berapa banyak pengguna yang mengklik iklan tersebut dan bagi iklan banner pula berapa kali ia muncul berdasarkan lawatan pengguna yang masuk ke dalam laman webnya.
"Sebagai contoh, bagi iklan klik, satu klik iklan itu sahaja boleh bernilai serendah 3 sen Amerika sehingga menjangkau AS$80 dolar (RM255), setakat yang pernah saya ketahui. Nilainya berbeza mengikut iklan. Saya kebiasaannya mendapat antara 4 hingga 5 dolar (RM16) untuk satu iklan yang diklik pengguna.
"Bagi iklan banner pula, 1,000 kemunculan menyamai 8 dolar (RM25)," ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai prosedur lazim yang dilalui untuk mendapatkan iklan, pengusaha laman web atau blog perlu memohon kemasukan iklan daripada syarikat perantara pengiklanan seperti Google Adsense menerusi laman web Google atau ValueClick Media.
Setelah mengisi borang permohonan yang berkehendakkan butiran mengenai laman web diisi, laman web berkenaan akan diperiksa dan diuji sama ada layak atau tidak untuk dimasuki iklan.
Pendapatan boleh diterima dengan beberapa cara antaranya kiriman cek atau sistem western union yang ditawarkan perkhidmatannya oleh bank dan pihak tertentu seperti bank CIMB, RHB dan pejabat pos.
Samsul turut menerangkan, selain daripada mendapat iklan secara perantaraan, ada juga iklan yang masuk ke dalam laman webnya secara terus. Ini biasanya melibatkan pengiklan dalam negara.
"Ia dilakukan dengan cara saya mengiklankan dalam laman web saya pelawaan untuk orang ramai atau pengiklan yang berminat untuk mengiklankan produk mereka di laman web atau blog saya," katanya.
Kini, masa Samsul banyak dihabiskan di rumah. Katanya, boleh dikatakan komputer di rumahnya terbuka 24 jam.
"Malam bila hendak tidur sahaja baru tutup," katanya yang sedang menunggu masa untuk mengambil anaknya di sekolah pada hari itu.
Tambah Samsul: "Apa yang boleh saya katakan, tidak ada ruginya melakukan kerja ini. Dengan modal yang terlalu sedikit, kita tidak akan rugi. Bahkan, margin keuntungan kita (perbezaan antara modal dan keuntungan) boleh jadi lebih tinggi daripada syarikat-syarikat besar.
"Apapun, nasihat saya sebelum menjadikannya kerjaya yang serius, lakukannya sebagai hobi kerana nasib juga memainkan peranan. Bukan semua laman web mudah melepasi ujian kemasukan iklan."