Saturday, July 19, 2008

Jutawan internet


DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja setiap hari. Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu gelaran yang diidami ramai.
Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal 30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet. Menurut Irfan, dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25 tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu.
Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur, tetapi juga medan untuk 'membuat duit'.
Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan. Bezanya, ia menerusi perantaraan Internet.
Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet, saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan Internet.
"Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.
Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer.
Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang disangka?
Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja."
Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan sebagainya.
"Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah berkenaan perniagaan Internet.
"Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari."
Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini.
"Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna Internet hanya 500 juta orang.
"Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya.
"Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian," katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet.
Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya rahsiainternet.com, ideabubble.com dan slash.com.my.
Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah.
"Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik.
"Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga. Saya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini.
Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan, dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu.
Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya.
"Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya.
Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun lagi.
Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi.
Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian multimedia di Britain.
"Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen.
"Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74 peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan. Perniagaan Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya.
"Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.


-----

Tak ada rugi

SELAIN daripada perniagaan Internet, seseorang juga boleh memperoleh pendapatan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog mereka.
Menarik bukan? Anda hanya menulis atau mengemas kini laman web atau blog anda, dan iklan yang masuk memberikan anda pulangan yang besar.
Itulah yang telah terjadi kepada seorang pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar yang kini hanya bekerja di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor. Kerjaya sebagai juruaudit dalaman ditinggalkan Samsul Zamzuri, 33, sejak tahun 2005 setelah dua tahun membangunkan laman web dan blog.
"Saya mengambil keputusan itu setelah melihat ia mampu menjana pendapatan empat kali ganda lebih besar daripada apa yang saya lakukan pada masa itu.
"Kini, setiap bulan, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka," kata Samsul yang merupakan graduan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
"Dan saya percaya, bukan setakat puluhan ribu, bahkan dengan pekerjaan ini mampu menjadikan seseorang itu jutawan. Di Malaysia, barangkali belum ada sesiapa yang bergelar jutawan hanya dengan iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog.
"Tapi di luar negara, saya yakin ada. Yalah, kalau pendapatan sehari mereka mampu mencecah AS$5,000 dolar (RM15,950) masakan tidak boleh jadi jutawan," ujarnya yang mengusahakan laman web, portal, direktori web dan blog. Antaranya ialah www.osx-e.com dan blog webmaster Malaysia www.szab.net/blog/.
Menurut Samsul, pengiraan pendapatan menerusi laman web atau blog ialah bergantung kepada berapa banyak pengguna yang mengklik iklan tersebut dan bagi iklan banner pula berapa kali ia muncul berdasarkan lawatan pengguna yang masuk ke dalam laman webnya.
"Sebagai contoh, bagi iklan klik, satu klik iklan itu sahaja boleh bernilai serendah 3 sen Amerika sehingga menjangkau AS$80 dolar (RM255), setakat yang pernah saya ketahui. Nilainya berbeza mengikut iklan. Saya kebiasaannya mendapat antara 4 hingga 5 dolar (RM16) untuk satu iklan yang diklik pengguna.
"Bagi iklan banner pula, 1,000 kemunculan menyamai 8 dolar (RM25)," ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai prosedur lazim yang dilalui untuk mendapatkan iklan, pengusaha laman web atau blog perlu memohon kemasukan iklan daripada syarikat perantara pengiklanan seperti Google Adsense menerusi laman web Google atau ValueClick Media.
Setelah mengisi borang permohonan yang berkehendakkan butiran mengenai laman web diisi, laman web berkenaan akan diperiksa dan diuji sama ada layak atau tidak untuk dimasuki iklan.
Pendapatan boleh diterima dengan beberapa cara antaranya kiriman cek atau sistem western union yang ditawarkan perkhidmatannya oleh bank dan pihak tertentu seperti bank CIMB, RHB dan pejabat pos.
Samsul turut menerangkan, selain daripada mendapat iklan secara perantaraan, ada juga iklan yang masuk ke dalam laman webnya secara terus. Ini biasanya melibatkan pengiklan dalam negara.
"Ia dilakukan dengan cara saya mengiklankan dalam laman web saya pelawaan untuk orang ramai atau pengiklan yang berminat untuk mengiklankan produk mereka di laman web atau blog saya," katanya.
Kini, masa Samsul banyak dihabiskan di rumah. Katanya, boleh dikatakan komputer di rumahnya terbuka 24 jam.
"Malam bila hendak tidur sahaja baru tutup," katanya yang sedang menunggu masa untuk mengambil anaknya di sekolah pada hari itu.
Tambah Samsul: "Apa yang boleh saya katakan, tidak ada ruginya melakukan kerja ini. Dengan modal yang terlalu sedikit, kita tidak akan rugi. Bahkan, margin keuntungan kita (perbezaan antara modal dan keuntungan) boleh jadi lebih tinggi daripada syarikat-syarikat besar.
"Apapun, nasihat saya sebelum menjadikannya kerjaya yang serius, lakukannya sebagai hobi kerana nasib juga memainkan peranan. Bukan semua laman web mudah melepasi ujian kemasukan iklan."

No comments: