Sunday, July 13, 2008

Curahan kasih 16 anak


MENJADI seorang ibu bukanlah mudah. Tanggungjawab yang tergalas di bahu begitu besar demi mencorak anak menjadi insan yang berguna. Namun, kadang-kadang untuk berdepan dengan seorang dua anakpun ada kalanya sudah cukup menguji kesabaran. Apatah lagi, jika mempunyai anak yang ramai, bak kata orang, seperti sudah boleh membentuk sebuah pasukan bola sepak?
Dengan si abang menyakat si adik, yang seorang menangis minta ditukar lampin, yang bergaduh sesama sendiri, yang membentak minta disiapkan makanan untuk ke sekolah, yang lebih dewasa dengan halnya sendiri dan si bayi di buaian pula merengek minta disusukan, memang tidak menang tangan dibuatnya.
Tambahan lagi dalam keadaan zaman sekarang, segalanya memerlukan duit dan kekangan kewangan sering menjadi penghalang sekali gus membawa kepada hambatan kerjaya. Mungkin kerana itulah, ramai ibu yang memilih untuk tidak beranak ramai sehingga melebihi 10 orang anak.
Namun, bagi ibu beranak ramai, Norhizan Awang, 51, yang mempunyai 16 orang anak mengakui tugas seorang ibu memang berat, apa tah lagi apabila si ibu perlu melayan sejumlah kerenah anak yang begitu ramai.
"Saya bahagia memiliki anak yang ramai. Memanglah macam-macam perangai tetapi saya tempuh sahaja dengan rasa gembira. Kenyataannya, saya rindu untuk mendengar tangisan bayi. Sunyi pula rumah ini bila sudah tidak ada bayi. Anak-anak saya pun kata begitu," kata Norhizan yang dikurniakan 10 orang putera dan enam puteri berusia antara 29 tahun hingga 6 tahun.
"Memang zaman sekarang tidak banyak wanita yang beranak ramai, kalau hendak dibandingkan dengan zaman dahulu. Kebanyakan orang terkejut bila saya beritahu anak saya 16 orang. Sampaikan ada orang yang berkata, kalau nak cari rumah saya, cari rumah yang banyak selipar dan basikal," katanya dengan nada berseloroh kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Dalam kunjungan ini, suaminya, Abdul Malik Mokhtar, bekas eksekutif kanan di stesen televisyen TV3 dan sembilan daripada 16 anaknya turut berada di rumah.
Diajukan pertanyaan tidakkah sukar untuk menjaga anak yang ramai, Norhizan berkata, sebenarnya rasa susah hanya terletak di minda.
"Kalau kita rasa susah, anak seorang pun kita sudah rasa susah. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Allah. Anak-anak saya pun, semuanya tidak mendatangkan masalah.
"Mungkin agak susah sikit menjaga mereka ketika masing-masing masih kecil. Sehingga tidak cukup tangan dibuatnya. Tetapi, apabila anak-anak makin besar, mereka pula yang banyak membantu kita. Semasa saya melahirkan anak bongsu enam tahun lalu, kerja saya hanya menyusukan bayi sahaja. Memakaikan lampin, memandikan, semuanya diuruskan oleh kakak-kakaknya," kata Norhizan.
Bukan tidak pernah mengalami kepayahan hidup. Mereka sekeluarga hakikatnya pernah hidup daif terutamanya pada zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1990-an.

"Ketika itu, kami menetap di Kuala Kangsar, Perak. Suami saya ketika itu bekerja tidak menentu. Kami makan ubi kayu setiap hari. Walau susah macam mana pun, kami tetap mengharungnya dengan sabar dan saya tidak serik untuk beranak lagi. Sebab kami yakin dengan janji Allah bahawa setiap anak itu ada rezekinya," katanya.
Meskipun dihimpit kesukaran hidup, anak-anaknya masih berjaya dengan cemerlang. Anak sulungnya, Muhammad Hafidz merupakan pelajar pertama dari Sekolah Menengah Kuala Kangsar yang berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tahun berikutnya pula, adiknya, Nurul Fatinah memecah rekod abangnya di sekolah yang sama dengan meraih 9A. Semasa Muhammad Hafidz mencipta kejayaan itu, Norhizan sudah memiliki 11 orang anak.
"Ramai orang sangka, anak-anak saya yang berjaya ini bersekolah di sekolah berasrama penuh. Mereka terkejut apabila mengetahui anak-anak saya hanya bersekolah biasa dan dewasa dalam keluarga yang begitu besar," ujarnya sambil memberitahu setakat ini, sebanyak 10 orang anaknya berjaya menjejaki menara gading.
Namun begitu, jauh di sudut hati Norhizan, kesukaran yang dilalui tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan tusukan duri ekoran tohmahan dan cemuhan orang.
"Telinga ini sudah tebal. Terutama semasa menghadapi zaman hidup susah dahulu. Orang melihat kami seperti menyusahkan. Orang kata, 'itulah, nak beranak ramai sangat?', sedangkan kami tidak pernah berniat hendak meminta-minta bantuan orang," katanya yang berhenti kerja sebagai guru sementara semasa hamil anak ketiga.
Norhizan turut mendedahkan bahawa dia pernah mengalami empat kali keguguran dan pernah dinasihatkan doktor agar berhenti beranak selepas melahirkan anak keempat dan kelimanya yang kembar. Anak bongsunya, yang ke-15 dan ke-16 juga pasangan kembar.
Ditanya bagaimana dia mendidik anak-anak dan membahagikan kasih sayang, Norhizan dan suami sentiasa memastikan anak-anak menjaga solat lima waktu.
"Kemudian yang lain-lain, akan datang dengan sendirinya. Anak-anak saya pun bukan jenis yang suka keluar rumah. Kadang-kadang, sampai saya yang suruh mereka keluar rumah, buat apa-apa yang patut. Saya dan suami galakkan mereka berdikari.
"Mengenai pembahagian kasih sayang, tumpuan yang lebih memang diberikan kepada anak yang paling kecil pada satu-satu masa. Saya ingatkan mereka yang lain agar jangan iri hati, kerana layanan seperti itu, sudahpun saya berikan semasa mereka 'bongsu'. Jadi, mereka faham.
Ditanya pula apakah kelebihan memiliki anak ramai, Norhizan berkata, kelebihannya adalah daripada sumbangan tenaga.
"Mereka membantu saya dalam banyak aspek terutamanya dalam sumbangan tenaga. Kerja-kerja dalam rumah ini, mereka yang banyak lakukan, jadi ringanlah sedikit kerja saya. Selain itu juga, setiap mereka mempunyai kemahiran tertentu dalam pelajaran, dan adik-adik mendapat pakar rujuk dalam pelbagai subjek.
Apakah harapannya buat anak-anaknya? Norhizan menutur kata:
"Saya tidak mengharapkan hadiah atau wang ringgit daripada mereka, apa yang saya harapkan hanyalah mereka menghormati saya sebagai ibu," katanya.
Seorang ibu 11 anak, Roziyati Sulaiman, 38, pula memberitahu, dia tidak merancang untuk mempunyai ramai anak, sebaliknya menyifatkannya sebagai rezeki dari Allah.
"Anak-anak ini penawar duka dan permata hati kita sebagai ibu. Tidak ada satu anak pun yang membawa bebanan. Biarpun kebanyakan anak saya masih kecil dan macam-macam kerenahnya, tetapi ia pengalaman yang menyeronokkan. Biasalah budak-budak kalau nakal," kata Roziyati yang dikurniakan enam putera dan lima puteri berusia antara 19 tahun hingga empat bulan ketika ditemui di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur.
"Walaupun ramai anak, saya rasa macam jaga dua anak sahaja. Sebabnya, anak-anak saya yang lain banyak yang bersekolah. Siang pergi sekolah, kalau bising pun pada sebelah malam sahaja dan hujung minggu," katanya seraya mengelus lembut rambut bayi kecilnya, Mohd. Danish Iman yang berada dalam dakapannya.
Seperti Norhizan, Roziyati juga percaya bahawa setiap anak mempunyai rezeki masing-masing dan ibu-ibu tidak perlu berasa bimbang. Roziyati berkata, setakat ini, walaupun adakalanya berlaku kesempitan wang, tetapi semuanya dipertemukan jalan penyelesaian.
"Biasalah bila anak ramai dan keperluan menjadi lebih besar, ada perkara yang perlu dikorbankan. Jadi, kenalah pandai-pandai berjimat. Tetapi, setakat ini, kalaupun ada masalah yang muncul, sentiasa dipertemukan Allah jalan penyelesaiannya," katanya yang merupakan seorang suri rumah dan suaminya bekerja sebagai pekerja pelancongan.

Ditanya pandangannya tentang pepatah Melayu, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu, Roziyati berkata, segalanya bergantung kepada didikan yang diberikan.
"Saya yakin, kalau dari kecil, anak dididik dengan penuh kasih sayang, insya-Allah mereka juga tidak akan melupakan kita," katanya.
Walaupun sudah berusia 38 tahun dan memiliki 11 anak, Roziyati masih kelihatan jelita dan muda. Tidak mustahillah, dia turut terpilih ke pertandingan akhir My Lovely Mum 08 yang diadakan di Mines Shopping Fair, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
"Sebenarnya, tidak kira berapa banyak kali kita melahirkan anak, kalau kita bijak menjaga kecantikan diri dan mengamalkan petua-petua semasa bersalin, insyaAllah tubuh kita akan kembali seperti bentuknya yang asal," katanya.

No comments: