Sunday, July 13, 2008

Main sampai ke Jepun


SEGENAP tumpuan dipusatkan pada tali di genggaman. Kudrat dikerah dan tali ditarik sepenuh daya. Kaki wanita-wanita ini mengundur ke belakang selangkah demi selangkah sambil tangan menarik tali yang mengikat sebuah tong berisi simen. Nampak tong itu terangkat sedikit demi sedikit. Sesekali mereka mendengus serentak menghimpun semangat. Akhirnya, bebanan tong seberat 600 kilogram itu berjaya diangkat sempurna oleh lapan wanita tadi.

“Tahniah Budiman Mom’s!” pekik satu suara dari segerombolan tukang sorak yang berhimpun di situ. Kebanyakan mereka terdiri daripada lelaki dewasa dan kanak-kanak. Kesemuanya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan yang digelar Budiman Mom’s itu.
Begitulah suasana yang sering dapat disaksikan di Kampung Budiman yang terletak di Meru, Klang, Selangor pada waktu petang. Pasukan Budiman Mom’s yang terdiri daripada kaum ibu-ibu dari kampung berkenaan pasti meraih perhatian. Golongan bapa dan anak-anak pula seronok meluangkan masa menyaksikan rutin latihan pasukan yang menjadi kebanggaan kampung mereka itu.


Budiman Mom’s adalah sebuah pasukan tarik tali wanita di kampung berkenaan. Ia dianggotai oleh ibu-ibu yang berusia antara 30 hingga 40-an. Apa yang pasti, mereka bukan setakat jaguh kampung.

Siapa sangka, sekumpulan kaum ibu yang biasa menghabiskan masa di ceruk dapur kini menjadi pasukan tarik tali wanita paling digeruni dalam negara? Lebih mengagumkan, mereka datang dari sebuah kampung, bukannya dari sebuah jabatan kerajaan atau pertubuhan swasta. Tapi, itulah kenyataannya.

Bukan sekadar pasukan kampung yang ditewaskan, bahkan pasukan yang bukan calang-calang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) pun berjaya ditumbangkan. Berdasarkan prestasinya, tidak salah kalau ia dinobatkan gelaran pasukan tarik tali wanita No.1 Malaysia.


Kerana itu, mereka layak mewakili negara ke perlawanan-perlawanan tarik tali peringkat antarabangsa. Siapa menduga, sukan tarik tali yang lazim dikenali sebagai permainan rakyat itu menjadi tiket buat ibu-ibu ini ke luar negara. Pada hujung tahun lalu, sebahagian daripada mereka menyertai Kejohanan Tarik Tali Jemputan Asia di Jepun.


Menyorot sejarah, Budiman Mom’s ditubuhkan pada 2004 yang pada awalnya sekadar untuk persediaan pertandingan antara rukun tetangga daerah Klang. Berlangsung di Stadium Sultan Sulaiman, Klang, pasukan Budiman Mom’s memenangi pertandingan itu sekali gus menjadi titik tolak pencapaian hari ini.


“Lepas menang kali pertama, kami rasa seronok sangat dan bersemangat untuk menang lagi. Pada mulanya sekadar nak menaikkan nama kampung, tidak sangka pula sampai ke tahap ini,” kata Lehati Kaison, 45, yang bertindak sebagai ketua pasukan ketika ditemui penulis bersama jurugambar DJOHAN SHAHRIN SHAH di kampung berkenaan baru-baru ini.Kini, boleh dikatakan hampir setiap petang, kelibat ibu-ibu ini akan kelihatan di padang. Mereka gigih menjalani latihan yang akan dipergiat saat menjelangnya kejohanan.“Rutin harian kami tidak banyak beza seperti ibu-ibu yang lain. Pagi, kami sibuk dengan urusan rumah…sediakan sarapan dan kemas rumah. Tengah hari…ambil anak pulang dari sekolah. Pukul 3 petang, masa untuk berehat. Cuma pukul 5.30 petang, barulah kami bersiap sedia di padang, memanaskan badan dengan senaman dan berjoging sebelum menjalani latihan tarik tali.
Malam, seperti biasa di rumah,” ujar Norida Miskam.


Latihan mereka juga agak berat. Selain beradu kekuatan dengan pasukan tarik tali lelaki, mereka juga mengerah tenaga menarik pokok jambu dan mengangkat tong berisi simen seberat 600 kilogram. Menurut jurulatih mereka, Roslan Hussin, latihan mengangkat tong adalah untuk memperbaiki langkah mereka dalam menarik tali.


“Latihan memang berat. Pada awalnya memang ada tercetus rasa serik dan tak mahu buat lagi, tapi kami cuba kuatkan semangat.


“Segalanya berakar umbi daripada komitmen, pengorbanan serta sokongan semua pihak terutama suami-suami kami,” tambah Norida.


Rakannya, Mazni Jumali, menambah: “Kalau suami tak bagi lampu hijau tak jadi juga,” katanya sambil disambut hilai tawa rakan sepasukan yang lain.


“Nak bercakap tentang dugaan, memang banyak…. Pernah dalam satu pertandingan akhir, rasa longlai satu badan, nak angkat tali pun tak terdaya, nak berdiri pun… rasa nak rebah. Hingga ada yang menangis. Namun, kami kuatkan semangat dan main sampai rubber set. Alhamdulillah, akhirnya, kami menang. Tak silap saya, itu merupakan pertandingan pertama kami di peringkat kebangsaan di Tasik Titiwangsa. Bila sudah menang, tak tergambar rasa gembiranya,” kata Zalima Md. Zainal yang turut menyertai pasukan ke Jepun.


“Siapa sangka, dengan sukan tarik tali inilah… kami dapat naik kapal terbang ke luar negara,” ujar ibu kepada enam orang anak ini.Di Jepun, sebanyak 12 negara menyertainya dan mereka berjaya menduduki tempat keempat. Pencapaian itu sudah cukup untuk dibanggakan.
“Masa awal-awal dulu… memang rasa tak larat nak ikuti latihan. Tapi, lama-lama, bila tidak ada latihan pada waktu petang, kami pula rasa bosan tidak tahu hendak buat apa di rumah,” kata Norwati Mazlan sambil memberitahu kemeriahan aktiviti riadah di kampung mereka kadang-kadang dicemburui kampung-kampung lain.


“Kalau sedang membuat latihan, biasanya anak-anak datang tengok. Pernah jugalah masa bersedia nak tarik tali, masa itulah anak menangis dan terpaksa dilayan dulu,” ujarnya tersenyum sambil dipersetujui rakannya, Siti Aminah Daud.


Selain itu, jika pergi ke tempat bertanding atau kejohanan, sudah jadi seperti berkelah lagaknya.
“Ya…lah, seorang masak nasi, seorang masak lauk dan seorang lagi bawa mi. Macam berkelah jadinya,” ujar Norwati.


Pasukan Budiman Mom’s diuruskan oleh Ketua Kampung Budiman, Azman Miskam. Azman berkata, semangat ibu-ibu ini begitu kuat dan merekalah yang sering bekerja keras jika ada apa-apa kegiatan di kampung.


“Kalau ada kenduri atau gotong-royong, merekalah yang paling ligat membantu. Mereka adalah ibu-ibu berjiwa lasak dan aktif,” kata Azman.


Namun di sebalik itu, Azman tetap memberitahu cabaran yang dihadapi sepanjang mengetengahkan Budiman Mom’s ke peringkat yang lebih tinggi.


“Semasa layak mewakili negara ke Jepun, kami tidak cukup wang untuk ke sana. Alhamdulillah, dengan sumbangan pemimpin negeri dan kawasan serta sokongan para suami dan penduduk kampung yang sanggup mengutip derma, dapat jugalah sebahagian daripada mereka melangkah ke sana,” katanya sambil memberitahu pasukan itu digabungkan dengan ahli tarik tali wanita PDRM ketika bertanding di Jepun.


Kini, Budiman Mom’s bukanlah satu-satunya pasukan tarik tali wanita di kampung tersebut.
Pasukan Budiman Ekspress ditubuhkan pada 2006. Ia dianggotai oleh golongan ibu dan remaja perempuan. Nampaknya, usaha untuk melahirkan wanita-wanita perkasa dari kampung ini terus terlestari.

No comments: