Sunday, July 13, 2008

Hanya bersaiz kebun

Minyak atau petroleum sering menjadi alasan mereka yang tamak haloba untuk mengaut kekuasaan dan menghalalkan peperangan.

MALAYSIA hanyalah pengeluar minyak ke-25 dunia.

"Dunia dahagakan minyak. Siapa yang menguasai sumber ini, dia yang mencaturkan dunia," Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Lebih buruk lagi, harga minyak mentah di pasaran dunia kini bukan ditentukan oleh pengeluarnya, sebaliknya ia ditentukan di pasaran terbuka seperti pasaran niaga hadapan New York Mercantile Exchange (NYMEX). Persatuan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dahulunya pernah menunjukkan taringnya kini tidak mampu berbuat apa-apa. Dalam beberapa minggu ini, harga minyak di pasaran dunia naik hampir setiap hari.

"Kalau kita mahu membeli kereta, harga kereta ditentukan oleh pengeluarnya. Tetapi tidak bagi harga minyak. Harganya ditentukan di pasaran terbuka sekali gus membuatkan harganya tidak dikawal. Inilah akibatnya apabila satu pihak mendominasi sumber dengan sistem kapitalis dan liberal bermaharajalela," katanya yang yakin spekulasi di pasaran hadapan adalah faktor utama kenaikan.

Benar, minyak semakin berkurangan tetapi persoalannya, adakah sekarang kita sedang kekurangan bekalan minyak?

Wall Street Journal baru-baru ini memberitahu bahawa pedagang minyak mentah berkata, pasaran sedang 'menderita' bekalan yang terlalu banyak, bukannya terlalu sedikit!

Pengusaha industri, Harry C. Johnson pula menyatakan, beberapa pihak berpendapat harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini sebenarnya jika tanpa campur tangan spekulator hanyalah antara AS$50 hingga AS$60 dolar (RM196) setong!

"Ada kemungkinan juga, keadaan ini berlaku sebagai percaturan menggugat kebangkitan negara-negara yang sedang membangun. Saya melihat krisis ini amat besar sehingga akan mempengaruhi trifungsi sejagat iaitu ekonomi, sosial dan politik. Kerana ekonomi yang teruk, masyarakat menjadi susah dan akhirnya iklim politik di banyak negara berantakan," kata Md. Shukri.

Amerika Syarikat (AS) merupakan negara pengeluar minyak ketiga terbesar tetapi ia bukan pengeksport minyak yang besar, sebaliknya pengimport dan pengguna minyak nombor satu dunia. China merupakan negara membangun yang berada di tangga kedua pengguna minyak dunia. Bahkan dijangka, perkembangan keperluan minyak China akan lebih pantas daripada AS.

Harga minyak mentah dunia juga diukur mengikut dolar Amerika. Kerana nilai dolar Amerika yang tidak menentu akhir-akhir ini, kita terpaksa mengikut rentak kenaikan harga.

Justeru, berbalik kepada kenaikan harga minyak di negara ini, kita harus memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Tangan dunia pun terpasung untuk membetulkan keadaan ini, masakan kita mampu mengekangnya?" soalnya.

Benar, negara kita merupakan negara pengeluar petroleum, tetapi adakah ia begitu besar seperti yang 'dimomokkan'? Andai dilihat pada atlas, didapati sebahagian besar negara di dunia merupakan negara pengeluar petroleum. Kita cumalah negara pengeluar yang ke-25. Layakkah untuk kita membandingkan harga petrol di negara kita dengan negara Arab Saudi, Kuwait, Venezuela dan sebagainya?

"Minyak kita cumalah laksana 'kebun', 'ladang-ladangnya' nun jauh di Timur Tengah iaitu di Arab Saudi, Amerika Syarikat, Rusia dan sebagainya. Kenaikan harga minyak mungkin dilihat memberi kelebihan kepada negara pengeluar, tetapi ada timbal baliknya. Segala kos yang lain akan bertambah, kadar tanggungan import produk lain bertambah," katanya.


Mungkin apa yang membuatkan Malaysia menyerlah dengan petroleum ialah negara ini mempunyai sebuah syarikat pengurusan minyak terbaik, Petronas.

Syarikat ini dianggap begitu gah sehingga ada yang menyenaraikannya dalam The Seven Sisters (satu gelaran bagi syarikat-syarikat minyak terulung di dunia) yang baru daripada lebih 100 syarikat minyak di dunia.

"Hakikatnya, itulah kebijaksanaan Malaysia. Bagaimana kita mampu mengurus sumber yang kita miliki walau dalam keadaan yang sedikit. Kita menubuhkan Petronas dengan usaha kita sendiri, tidak seperti Saudi Aramco yang dimiliki Arab Saudi, pengeluar terbesar minyak di dunia, tetapi ditubuhkan oleh AS.

Ekonomi kita bahkan lebih baik daripada beberapa negara OPEC seperti Nigeria. Bahkan, hampir 40 peratus daripada pendapatan negara kita adalah disumbangkan oleh syarikat ini," ujarnya.

Apa pun, sesuatu perlu diakui, minyak adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan minyak Malaysia dijangka akan habis tidak sampai 20 tahun lagi. Seandainya ini berlaku, dari manakah sumber pendapatan utama kita nanti?

Oleh itu, kita perlu beringat dari sekarang. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Keuntungan yang kita miliki hari ini tidak boleh dihabiskan kesemuanya sekarang. Sebahagian wang perlu dilabur demi memastikan keuntungan dan kemakmuran dapat dikecapi berpanjangan. Kesempitan yang kita terpaksa deritai ini adalah demi generasi akan datang. Kita harus berganding bahu dan bertolak ansur dalam mendepani krisis ini.

Setidak-tidaknya, kita perlu menerima hakikat bahawa inilah natijah daripada kehidupan yang harus dilalui pada zaman ini. Manusia telah melalui zaman batu, besi, gangsa, arang batu dan kini giliran minyak. Entah-entah apabila giliran tenaga solar menjadi sumber tenaga utama, matahari pun ingin dikuasai manusia!

No comments: